Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 1)

Novel Formula Termodinamik : Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 1)

Sinopsis Bab 7

Mereka sampai di rumah Amir pada jam 12:00 tengah malam. Mereka ke pejabat persendirian Damit, iaitu pejabat bapa Amir. Sebaik menghidupkan komputer, data Formula Termodinamik di paparkan pada skrin. Terdapat juga paparan data syarikat ayah Amir, iaitu Syarikat Bahagia. Tiba-tiba, data Syarikat Bahagia muncul satu per satu di skrin komputer walaupun data itu tidak dibuka oleh mereka. Amir panik kerana dia sedar ada orang yang cuba mencuri data syarikat bapanya. Mereka sedaya upaya menyekat pengaliran maklumat keluar dengan menerbitkan kod baharu.

Usamah berjaya menerbitkan kod baharu bagi menyekat pengaliran data keluar tetapi sekatan itu mungkin hanya untuk sementara sahaja. Mereka dapat mengesan lokasi penjenayah komputer itu. Penjenayah komputer itu berada di Papar. Mereka tidak dapat mengagak orang yang mencuri data syarikat ayahnya. Pada mereka, kemungkinan orang yang sama mencuri data Formula Termodinamik.

Usamah menolak kemungkinan bahawa Zaid dan Adnin yang mencurinya kerana mereka berdua tidak tahu menggunakan komputer. Pada masa yang sama, Aswan kecewa kerana tidak berjaya mencuri data Syarikat Bahagia. Dia kesal kerana tidak bijak menggunakan komputer. Barulah Majibon dan Fikri tahu bahawa formula yang dimiliki oleh mereka untuk pengubahsuaian mesin ciptaan mereka ialah formula yang dicuri oleh Aswan.

Sinopsis Bab 8

Puan Intan terkejut apabila terlihat Amir dan Usamah berada dalam pejabat suaminya kerana jam menunjukkan pukul 3:00 pagi ketika itu. Amir memberitahu mamanya bahawa data syarikat ayah sedang dicuri oleh penjenayah komputer dan mereka cuba menyekat pengaliran keluar data itu. Puan Intan berasa agak lega apabila mereka berjaya menyekat data syarikat suaminya daripada jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Ayah Amir pada ketika itu berada di Manila dan akan pulang lusa.

Puan Intan bertanya tentang projek mereka. Amir memberitahu mamanya bahawa projek tersebut sudah boleh digunakan tetapi mereka kehilangan Formula Termodinamik. Puan Intan menanyakan Usamah tentang tarikh kepulangan ayahnya. Usamah memberitahu Puan Intan bahawa dia tidak pasti tarikh dan masa ayahnya akan pulang. Amir memberitahu mamanya bahawa jarak Semenanjung jauh dengan Sabah jadi tidak mungkin ayah Usamah boleh balik dengan cepat.

Puan Intan menyangkal dan memberitahu bahawa jika dahulu Sabah dengan Semenanjung memang jauh tetapi kini dengan adanya pengangkutan udara, mereka dapat menjelajah Semenanjung dalam masa setengah hari sahaja. Amir memberitahu mamanya tentang cita-citanya untuk membina terowong di bawah dasar laut untuk disambungkan ke Semenanjung dan mereka boleh berulang-alik dengan menggunakan kereta seperti yang dilakukan oleh negara Jepun.

Mereka ingin bertolak pulang ke kampung pada pagi itu juga walaupun dihalang oleh mama Amir. Sesampainya di kampung, mereka melihat Zaid dan Adnin sedang menggunakan mesin 2 dalam 1. Pergerakan mereka diintip oleh Aswan dan rakan-rakannya. Kini, nenek tidak perlu lagi terbongkok-bongkok mencangkul tanah. Nenek bangga dengan pencapaian mereka. Adnin dan Zaid pula menyediakan baja tahi lembu. Amir mengambil alih tugas menyediakan baja tahi lembu. Selepas membajak sawah dan menabur baja, mereka makan tengah hari bersama-sama.

Sinopsis Bab 9

Musim menuai padi pun tiba. Orang-orang kampung datang membantu nenek menanam padi. Semangat gotong-royong masih menebal dalam diri orang-orang kampung. Tiba-tiba, Adnin menanyakan mesin ciptaan Aswan kerana sampai sekarang masih tidak nampak bayangnya. Sekiranya mesin ciptaan Aswan sudah ada, sudah pastilah kerja-kerja menanam padi menjadi semakin mudah.

Amir menegur sikap Adnin dan melarangnya daripada mengumpat. Adnin membela dirinya dan mengatakan bahawa Aswan sememangnya pandai bercakap sahaja dan orang-orang kampung juga sudah maklum akan sikap Aswan itu. Aswan hanya hendak bersaing dengan Amir dan Usamah. Usamah memberitahu Adnin bahawa persaingan itu sihat bagi memajukan diri sendiri dan melarang rakan-rakannya memburuk-burukkan orang lain. Setelah menedengar nasihta Usamah, masing-masing diam dan memeruskan kerja masing-masing.

Zaid memaklumkan kebaikan menggunakan baja tahi lembu kerana padi cepat menjadi gemuk. Usamah memberitahu bahawa baja asli bukan sahaja baik untuk tumbuh-tumbuhan malahan menjimatkan kos. Tambahnya lagi, gabungan baja asli dan baja kimia mempunyai keseimbangan kerana baja asli dapat menyuburkan tumbuh-tumbuhan manakala baja kimia dapat mengawal virus penyakit tumbuh-tumbuhan.

Adnin kagum akan penerangan Usamah kerana Usamah dan Amir belajar dalam bidang kejuruteraan tetapi mahir juga dalam bidang pertanian. Asma menyokong Adnin dan sikap mereka harus dicontohi. Tiba-tiba, kedengaran suara riuh-rendah. Mereka berlari dan mendapati nenek terjatuh ke dalam paya. Amir mengesan denyutan nadi nenek yang lemah dan memberikan bantuan pernafasan kepada nenek. Akhirnya, nenek sedar dan mereka bercadang untuk membawa nenek ke rumah sakit namun dihalang oleh Pak Cik Suib. Setelah dipujuk, akhirnya Pak Cik Suib membenarkan nenek dihantar ke rumah sakit.

.

This entry was posted in Bahasa Melayu. Bookmark the permalink.

Leave a comment