Sinopsis Bab 1, 2, 3 (Novel Tingkatan 1)

Novel Formula Termodinamik : Sinopsis Bab 1, 2, 3 (Novel Tingkatan 1)

Sinopsis Bab 1

Asma, Amir, dan Usamah merupakan dua pupu. Kini, mereka sudah meningkat remaja dan membawa haluan masing-masing. Usamah tinggal di Perak, Amir di Putatan, dan Asma berada di kampung mereka. Pada cuti semester, mereka menghabiskan cuti bersama-sama. Semasa mereka mengimbas memori zaman kanak-kanak mereka, tiba-tiba Usamah memberitahu Amir bahawa ada e-mel yang baru diterima oleh mereka. Amir bingkas bangun dan mengagak e-mel itu kemungkinan daripada Profesor Othman.

Amir memberitahu Asma bahawa mereka mempunyai projek baharu yang diberi nama Formula Termodinamik. Mereka berbual dengan Profesor Othman melalui alam maya. Mereka memberitahu Profesor Othman tentang projek yang sedang diusahakan oleh mereka. Mereka memberitahu Profesor Othman bahawa mereka hendak mengubah suai sebuah mesin rumput terpakai dan menunjukkan grafik mesin tersebut kepada Profesor Othman. Mereka meminta bantuan Profesor Othman agar memberikan Formula Dua Hukum Popular. Profesor Othman menerangkan formula yang diperlukan oleh mereka. Mereka amat berpuas hati dengan penerangan Profesor Othman dan memaklumkan bahawa mereka akan memulakan projek mereka dalam sehari dua lagi. Profesor Othman mendoakan agar mereka berjaya merealisasikan projek mereka itu.

Usamah amat gembira kerana telah berjaya mendapatkan formula daripada Profesor Othman, namun Amir masih ragu-ragu kerana baginya mengubah suai mesin bukanlah suatu perkara yang mudah. Setelah diberikan kata-kata semangat oleh Usamah, akhirnya Amir bersetuju dan sama-sama ke kolong untuk mendapatkan mesin rumput terpakai itu.

Sinopsis Bab 2

Aswan yang merupakan dua pupu kepada Usamah, Amir, dan Asma, tidak senang duduk apabila mengetahui Amir dan Usamah akan mencipta mesin 2 dalam 1. Dia juga ingin menyaingi mereka. Dia tidak mahu Amir dan Usamah melebihinya. Jika Amir dan Usamah ingin mencipta mesin rumput yang boleh mencangkul tanah, Aswan pula ingin mencipta mesin rumput yang berfungsi untuk menanam padi. Dia akan menggunakan mesin rumput yang panjang dan boleh dipegang di pangkalnya. Aswan akan menggunakan teori yang pernah dipelajari semasa di politeknik dahulu walaupun dia tidak berjaya menghabiskan pengajiannya.

Majibon dan Fikri akan bersama-samanya. Mereka mencadangkan agar Aswan meminta Formula daripada Amir dan Usamah, namun ditolak oleh Aswan kerana dia tidak menyukai dua orang pupunya itu. Aswan juga tidak mungkin untuk meminta formula daripada Profesor Othman kerana dia pernah berdebat dengan Profesor Othman semasa di politeknik dan tidak mungkin Profesor Othman akan memberikan kerjasama kepadanya. Majibon dan Fikri sebenarnya tidak suka akan sikap ego Aswan, namun perasaan itu diketepikan kerana mereka telah berkawan sejak kecil lagi.

Aswan meminta Majibon dan Fikri membantunya dari segi teori dan dia akan berusaha mencari formula untuk merealisasikan impiannya. Majibon dan Fikri bersetuju tetapi dengan syarat mereka tidak bermusuh dengan Amir dan Usamah. Majibon mengajak mereka ke rumah Amir dan Usamah.

Sinopsis Bab 3

Semasa Aswan, Majibon, dan Fikri tiba di rumah Amir dan Usamah, mereka sedang mengubah suai mesin rumput. Majibon memuji mesin mereka tetapi menurut Amir mesin itu cuma perlu diubah suai. Pemasangannya telah siap dan hanya perlu ditambah tenaga sahaja. Majibon menunjukkan minatnya terhadap mesin Amir. Menurut Amir, mesin itu dinamakan mesin 2 dalam 1 yang menggunakan kuasa 6 kw, kincir angin model SAMA, iaitu singkatan bagi Sabah dan Malaysia kerana mesin ini ciptaan orang Malaysia walaupun negara asal mesin itu ialah China.

Amir menunjukkan cara penggunaan mesin tersebut yang terdapat butang NAIK untuk mencangkul dan menggembur, butang BAWAH untuk memotong rumput dan butang PELEPAS untuk pengendalian mesin. Menurut Amir lagi, pergerakan mesin itu dikawal berpandukan suhu. Amir juga menunjukkan angka digital yang perlu ditekan semasa mesin beroperasi. Angka satu dan dua untuk perlahankan mesin, angka tiga untuk melajukan manakala angka sifar untuk mematikan mesin.

Tiba-tiba, Fikri bertanyakan Aswan. Menurut Amir, Aswan mengikuti Usamah untuk melihat bilik operasi mereka. Kemudian, Usamah menghidangkan minuman kepada mereka di beranda. Majibon bertanyakan Adnin dan Zaid kerana selalunya mereka bersama-sama Amir dan Usamah. Usamah memberitahu bahawa mereka sedang mengumpulkan baja tahi lembu. Fikri meminta izin untuk menyertai Amir dan Usamah dalam mengubah suai mesin dua dalam satu itu.

Tiba-tiba, Aswan mengajak rakan-rakannya untuk pulang tetapi Fikri memberitahu bahawa mereka belum mendapatkan formula daripada Amir dan Usamah namun Aswan tetap mahu pulang. Zaid, Adnin, dan Asma kehairanan apabila melihat kedatangan Aswan dan rakan-rakannya. Adnin mengatakan bahawa mereka datang untuk mengintip mereka tetapi disangkal oleh Usamah.

Asma cuba mengalihkan perbualan mereka dan mengatakan bahawa orang kampung pasti suka akan mesin ciptaan mereka kerana dapat meringankan kerja-kerja mereka. Tiba-tiba, Zaid mengajak mereka pergi memancing memandangkan mesin mereka pun sudah siap diubah suai.

.

This entry was posted in Bahasa Melayu. Bookmark the permalink.

Leave a comment